Petua untuk mudah bangun solat subuh
Saya sering diajukan soalan daripada adik-adik mahupun anak-anak program yang saya kendalikan tentang bagaimana caranya untuk mudah bangun Solat Subuh.
Ada yang hanya mengharapkan ibu bapa/kawan-kawan kejutkan tak kurang yang menjadikan jam loceng dan ‘alarm’ handset sebagai alat untuk membangunkan mereka Solat Subuh.
Yang berlaku, jam loceng atau alarm handset dimatikan dan kejutan ibu bapa itu ada yang tidak bersungguh-sungguh ataupun
bila si anak menyahut terus ditinggalkan dengan jangkaan anak sudah bangun sedangkan mulut saja menyahut tetapi mata tak dibuka dan tubuh masih baring di tilam empuk.
Alhamdulillah, saya menemui sebuah buku bertajuk Keajaiban Solat Subuh (The Miracle of Solat Subuh) tulisan Dr. Raghib Al-Sirjani yang telah diterjemahkan mempunyai beberapa tip untuk mudah bangun mendirikan Solat Subuh. Berikut ringkasan yang dapat saya simpulkan merujuk kepada buku di atas. Mudah-mudahan memberi manfaat buat saya dan kita semua
Tip 1 : Tekad yang kuat
Saya sangat berkeyakinan, jika kita membulatkan tekad yang bersungguh-sungguh, tidak ada seorang pun yang boleh menghalang kita untuk bangun Solat Subuh.
“tapiii, saya memang dah berazam bangun masalahnya tak jaga juga”.
Persoalannya, cukupkah azam di mulut saja tapi tidak mempersiapkan apa-apa untuk mencapai azam tu.
Contohnya, kalau tidur malam dah lambat, tidak pula memasang ‘alarm’ atau pesan supaya ahli keluarga dan kawan-kawan kejutkannya, mana mungkin dia boleh mengatakan “Saya mahu solat, tetapi nak buat macamana tak jaga juga dan tak dengar azan”. Kalau takdak keinginan yang kuat untuk bangun, jangan haraplah nak dengar azan.
Bahkan kalau dengar azan sekalipun, tetapi takdak kesungguhan untuk bangun tetap ia tak akan bangun untuk solat.
Tip 2 : Jauhilah dosa/maksiat
Orang yang mudah bangun Solat Subuh sudah tentu seorang yang berusaha menghiasi kehidupan hariannya di bawah naungan redha dan rahmat Allah. Maksudnya setiap minit dan saat hidupnya akan berusaha melaksanakan kebaikan dan menjaga dirinya agar tidak membuat suatu perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah.
Apabila hatinya bersih dan diwarnai zikrullah, maka laungan
“As-Solatu Khairam Minan Naum” (Solat lebih baik dari tidur) menjadi “alarm” untuk dia segera mencari redha dan kasih sayang Allah.
“Tak mungkinlah kita bersih dari dosa dan maksiat. Hari ini kita kan terdedah dengan pelbagai maksiat di sana sini”
Benar, maka banyakkanlah beristighfar mohon keampunan Allah dan jagalah diri dari melakukan maksiat yang ada di sekeliling kita. Takkan bila maksiat di sana sini, kita jadikan alasan untuk turut membuat maksiat juga. Jadilah ikan di laut, walaupun dunia kehidupannya masin, tetapi isinya tidak masin.
Sebelum tidur, muhasabahlah diri dan mohonlah keampunan Allah atas dosa dan maksiat sama ada disedari atau tidak yang kita lakukan sepanjang hari itu.
Tip 3 : Banyak berdoa
Doa itu senjata mukmin. Terus berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa dan memudahkan kita bangun untuk Solat Subuh.
Seringkali kita lupa untuk berdoa sebelum tidur dan selepas bangun tidur.
Itu kan sunnah Rasul Salallahu Alaihi Wasallam.
Berdoa dengan penuh yakin dan tidak berputus harap dengan kasih sayang Allah
Tip 4 : Tidur Cara Sunnah
Bila kita mengamalkan tidur cara Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam, di sana ada keberkatannya.
Dengan tidur cara Rasul, dengan izin Allah kita mudah untuk bangun Solat Subuh.
Bagaimana tidur cara sunnah Rasulullah?
(i) Tidur Lebih Awal
Antara wasiat Rasul Salallahu ‘Alaihi Wasallam kepada umatnya ialah tidur selepas waktu Isyak. Tidur awal bukan dikhususkan untuk kanak-kanak sahaja tetapi kepada semua manusia. Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam akan tidur awal dan bangun di sepertiga malam untuk bermunajat kepada Allah Subhanahu Wataala. Ada riwayat yang menyatakan Rasulullah akan tidur selepas Solat Isyak. Kita pula bagaimana?
Jika tidak ada apa-apa perkara yang ingin dilakukan, lebih baik kita naik ke katil lebih awal daripada menghabiskan masa dengan menonton televisyen dan lepak-lepak di gerai minum.
Bagi pelajar, kajian menunjukkan mengulangkaji pelajaran selepas Solat Subuh atau bangun tidur awal pagi adalah lebih baik dari berjaga malam dan bersengkang mata.
Firman Allah Subhanahu Wataala : “Allah yang menjadikan waktu malam untuk kamu berehat padanya dan menjadikan siang terang benderang…”(Ghafir: 61)
(ii) Berwudhuk sebelum tidur
(iii) Membaca doa
Baca doa sebelum tidur dan tiga surah (tiga Qul) ditiupkan pada tapak tangan dan disapukan diseluruh badan, ditambah Ayatul Kursy sebagai benteng dari diganggu oleh Iblis dalam tidur kita.
(iv) Tidur di atas lambung kanan dan mengadap qiblat
Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Apabila kamu ke tempat tidurmu, ambillah wudhuk seperti wudhuk solatmu kemudian berbaringlah di atas lambung kananmu.”
Berkenaan hikmah tidur di atas lambung kanan, Imam Ibn Qayyim (anak murid Ibn Taimiyah) menjelaskan hati manusia terletak di
sebelah kiri, maka apabila seseorang tidur di atas lambung kiri, hatinya akan tertindih yang menyebabkan tidur menjadi nyenyak dan rasa berat untuk bangun.
Berbanding bila tidur di atas lambung kanan, hatinya tidak tertindih seterusnya menyebabkan ia tidak terlalu nyenyak dan tenggelam dalam tidurnya.
Tip 5 : Jangan banyak makan sebelum tidur
Ini merupakan satu tip yang sesuai dengan syariat dan kesihatan.
Perut yang terlalu kenyang akan menjadikan tubuh badan menjadi berat dan susah untuk bangun.
Selain itu, jauhi daripada minum teh, kopi dan minuman bergas.
Minuman tersebut yang mengandungi kafein akan melambatkan tidur atau mengakibatkan kegelisahan ketika tidur seperti sering terjaga untuk kencing.
Akhirnya badan menjadi lemah dan sukar untuk bangun Solat Subuh
Tip 6 : Pasang Penggera (Alarm)
- Pasang alarm tepat pada waktu Solat Subuh. Ketika post ini ditulis, waktu Subuh di Alor Setar adalah pada pukul 6.17 pagi, maka alarm perlulah di ‘set’ pukul 6.17.
Peringkat awal ini, cukuplah kita melatihkan diri untuk bangun tepat pada ketika Subuh telah masuk.
Selepas sudah membiasakan diri, berlatihlah pula bangun lebih awal agar kita boleh menunaikan ibadah qiamullail walaupun hanya sekadar 15 minit sahaja.
- Usahakan memasang alarm yang mengeluarkan deringan kuat sama ada jam loceng mahu pun handset.
Jangan sesekali memasang alarm menggunakan muzik lembut atau deringan biasa kerana ia bukan saja tak membangunkan kita bahkan akan membuaikan kita untuk terus tidur.
- Memasang alarm dalam pelbagai waktu. Contohnya jika jam loceng dikunci pukul 6.17 pagi, alarm handset pula dikunci pukul 6.22
pagi sebagai persediaan takut-takut alarm pertama ditutup secara tidak sengaja dan sedar.
- Tukarkan bunyi alarm dari semasa ke semasa.
Handset mungkin takdak masalah tapi bagi jam loceng, tukarlah dengan ahli keluarga yang lain atau kawan-kawan yang mempunyai bunyi berbeza dengan jam kita.
- Jauhkan jam loceng atau handset dari mudah dicapai oleh tangan. Adalah lebih baik letak di tempat yang agak tinggi atau pun di tempat yang perlu kita bangun dan berjalan ke arahnya.
Inilah sebahagian petua yang mungkin boleh membantu untuk bangun awal bagi menunaikan Solat Subuh.
Dengan izin Allah, jika kita berusaha bersungguh-sungguh, pasti Allah Subhanahu Wataala akan mempermudahkannya
0 Response to "Petua untuk mudah bangun Solat Subuh. Amalkan Petua Ini Jika Tak Mahu Syaitan Selimutkan Anda Dengan Kulit Babi !!!"
Post a Comment