Sultan Muhammad Fateh Dan Perjuangan Yang Telah Dilupakan




Sejarah Awal 29 Mac 1432, lahirnya seorang putera raja yang telah diramalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. dalam hadith Baginda, “Sesungguhnya, Konstantinople akan ditakluk oleh kalian, maka sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya”, Riwayat Ahmad. Dilahirkan kepada pasangan Murah II Bin Muhammad I dan Huma Hatun di Erdine, Turki. Pada waktu itu Uthmaniyyah masih merupakan satu jajahan kecil di kawasan Anatolia yang merupakan sebahagian daripada wilayah-wilayah dibawah Seljuk Rom dan belum menjadi Empayar Kuasa Dunia seperti yang kita kenali pada hari ini. Setelah kelahiran Muhammad II Bin Murad I, segalanya berubah. Jika dahulu, jajahan Uthmaniyyah hanya bertambah pada kadar yang sedikit, sekarang penambahan wilayah seolah-olah tiada batasan. Kuasa-kuasa Eropah ditundukkan atau tunduk kepada kekuasaan Muhammad II. Lahirnya Seorang Wira Nama diberi adalah Muhammad II, diriwayatkan lahir sewaktu ayahandanya sedang membaca surah al-Fath sementara menunggu kelahirannya. Kelahiran Baginda adalah anak lelaki yang ketiga kepada Sultan Murad II Bin Muhammad I. Namun begitu, akibat kematian kedua-dua abangnya Ahmed dan Ali, Muhammad II telah layak menjadi pengganti takhta bagi Empayar Uthmaniyah walaupun pada asalnya Muhammad II tidak mempunyai harapan untuk menjadi Sultan. Baginda seperti khalifah-khalifah sebelum ini, juga telah dididik dengan baiknya oleh para ulama tersohor pada waktu itu. Antara ulama yang telah menjadi pendidik Sultan Muhammad adalah Sheikh Ahmad al-Kurani dan Sheikh Aaq Shamsuddin. Bahkan, ketika kecil baginda pernah dirotan di depan khalayak ramai kerana mengambil ringan teguran Sheikh Ahmad al-Kurani. Begitu tinggi kedudukan ulama pada waktu itu. Pada masa yang sama, ianya menjadi ingatan bahawa bukan mudah untuk melahirkan pemimpin hebat seperti yang pernah disebut oleh Nabi Muhammad S.A.W. Semenjak kecil, baginda telah dididik dengan pelbagai aliran ilmu termasuk matematik, kimia, fizik dan ilmu peperangan. Hasil didikan selama bertahun-tahun ini telah membentuk keperibadian seorang sultan yang berwawasan, berpandangan jauh dan tidak mudah menyerah kalah. Kehidupan Awal Sejak kecil lagi, inspirasi dan semangat telah ditanam dalam diri Baginda untuk menjadi pemimpin yang telah dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W. Semangat, kebijaksanaan dan dedikasi Muhammad II terbukti apabila Baginda telah menguasai Bahasa Arab, Turki, Parsi, Perancis, Yunani, Serbia, Hebrew dan Latin sebelum berusia 17 tahun. Selain daripada itu, sebahagian besar waktu Baginda diluangkan untuk latihan ketenteraan. Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa sultan-sultan Uthmaniyyah pernah menterjemah pelbagai kitab seperti Tarikh Tabari, Tafsir Tabari, Tafsi Ibn Kathir dan kitab-kitab lain berkaitan fiqh dan ilmu hadith ke Bahasa Turki. Kewarakan mereka tidak terhenti di situ sahaja. Dikatakan Muhammad II tidak pernah menjadi makmum masbuq ketika dalam solat, bahkan solatnya juga sentiasa dalam keadaan berjemaah. Takhta Dinaiki Muhammad II ditabalkan sebagai sultan ketujuh Empayar Uthmaniyah pada 18 Februari 1451 sewaktu baginda berumur 19 tahun. Sejurus selepas menaiki takhta, baginda terus berusaha untuk menyusun strategi untuk membuka kota Konstantinople. Kota yang temboknya terkenal kerana berjaya menahan serangan demi serangan daripada pejuang Islam ratusan tahun lamanya seolah-olah mewujudkan kebanggaan yang melampau dalam hati Raja Constantine dan para tenteranya. Impian baginda untuk menjadi pembuka kota Konstantinople bakal menjadi kenyataan. Baginda mengumpulkan tentera dan memulakan perancangan untuk membebaskan kota ini daripada genggaman kezaliman. Pada 29 Mei 1453, impian umat Islam dan ramalan Nabi Muhammad S.A.W. menjadi kenyataan apabila tentera Uthmaniyyah memasuki kota Konstantinople. Baginda telah membebaskan kota ini daripada belenggu kekejaman Raja Constantine. Cukai yang tinggi dan kemiskinan yang melampau melanda jajahan Byzantine pada waktu itu. Pembukaan kota Konstantinople bagaikan satu rahmat bagi penduduknya. Nama kota ini seterusnya ditukar kepada Istanbul, nama yang kekal hingga ke hari ini. Eropah meratap kemusnahan Empayar Byzantine Rome, yang telah berkuasa buat sekian lamanya. Hasil pembukaan Istanbul, nama Baginda sangat ditakuti, sehinggakan Pope Sixtus IV melarikan diri dari Rome kerana terdengar desas-desus Rome bakal diserang oleh Sultan Muhammad II. Baginda juga telah membebaskan banyak wilayah di kawasan Eropah Timur setelah menakluki Istanbul pada tahun 1453. Setelah itu, baginda telah diberi gelaran “al-Fatih” yang bermaksud pembuka. Hasil perjuangan Baginda ratusan tahun lalu, hari ini umat Islam masih menikmati habuannya. Antaranya, pembinaan terusan Suez, teknologi ketenteraan dan pelbagai penemuan serta kemajuan sains yang telah dikecapi dan dikongsi dengan dunia Islam. Turki Moden dan Sekularisme Selain jasa Sultan Muhammad II dalam menghadiahkan Istanbul kepada umat Islam, baginda juga memberikan ertikata baru kepada istilah “perjuangan”. Bagaimanapun, empayar yang digeruni ini telah dihancurkan pada tahun 1922, bukan daripada serangan mana-mana negara lain, akan tetapi dihancurkan oleh golongan sekular yang berada dalam negara itu sendiri. Diketuai oleh Mustafa Kemal Ataturk, segala yang diusahakan selama lebih 600 tahun padam, umat Islam ditindas, sekolah agama ditutup, ulama dibunuh, azan dihalang manakala perempuan dilarang memakai hijab. Kebencian melampau terhadap Islam menyaksikan ibu kota Turki yang selama lebih 400 tahun berada di Istanbul dipindahkan ke Ankara, Masjid Hagia Sofia ditutup bagi segala aktiviti ibadah dan lain-lain kezaliman yang dilakukan terhadap umat Islam di Turki. Kedatangan sekuralisme ke Turki seolah-olah tidak menghargai perjuangan khalifah-khalifah selama lebih 600 tahun. Kebencian yang teramat terhadap agama menjadikan puak sekular ini menentang Islam dengan apa jua cara sekalipun, seolah-olah tiada apa yang lebih penting selain mempertahankan ideologi mereka. Turki lama bukanlah Turki yang baru dan kegemilangan yang lampau juga hilang bersama sultan-sultannya. Hari ini, Islam tidak lagi dikaitkan dengan Turki dan segala usaha untuk mendekatkan Turki dengan Islam akan mendapat cemuhan dan kecaman dari Barat. Sejarah akan berulang jika kita tidak peka dalam usaha memartabatkan Islam di bumi kita sendiri. Sesungguhnya, segala apa yang dibuat pada hari ini akan membentuk hari esok.

Read more at: https://www.menara.my/sultan-muhammad-fateh-dan-perjuangan-yang-telah-dilupakan/

0 Response to "Sultan Muhammad Fateh Dan Perjuangan Yang Telah Dilupakan "

Post a Comment