Rasulullah pembuka pintu syurga.. Siapakah golongan yang akan masuk syurga tanpa HISAB selepas Rasulullah..


- Gambar hiasan
Rasulullah adalah manusia pertama yang masuk syurga. Baginda memberi syafaat kepada manusia di akhirat nanti. Kelompok manusia yang akan masuk syurga wajahnya umpama bulan purnama dan memakai pakaian yang tidak lusuh. Selain Rasulullah dan Saidina Abu Bakar, golongan ketiga masuk syurga tanpa dihisab ialah Mukmin yang menjaga keimanan. Ikuti perkongsian menarik ini bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm.
Allah SWT mengingatkan hambanya agar bersegera memohon keampunan di atas dosa mereka, kerana sesungguhnya Allah telah menyediakan syurga itu seluas di antara langit dan juga bumi bagi mereka yang bertakwa kepada-Nya.
Orang yang pertama membuka pintu syurga ialah Nabi Muhammad SAW, selepas seluruh manusia dibangkitkan di Padang Mahsyar dan kemudian mereka melewati Telaga Kauthar serta titian sirat.
Selepas orang Mukmin melewati titian, mereka masih di dalam keadaan tidak suci dan apabila sampai di pintu syurga, mereka akan meminta syafaat daripada Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Isa dan akhirnya daripada Nabi Muhammad SAW.
Rasulullah akan memberi syafaat kepada mereka seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim melalui Abu al-Nadr, daripada Hasyim bin al-Qasim dan seterusnya.
Anas bin Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Aku berjalan sampai ke depan pintu syurga pada Hari Kiamat, kemudian aku mengetuk pintu itu. Lalu dibuka pintu syurga, penjaganya bertanya, "Siapa kamu?". Rasulullah menjawab, "Aku Muhammad." Penjaga syurga berkata, "Kerana kamulah aku diarahkan supaya tidak ada seorang pun yang boleh membuka pintu syurga ini sebelum datangnya kamu." Rasulullah menyebut lagi, "Aku adalah Nabi yang paling ramai pengikut pada Hari Kiamat nanti dan sayalah orang pertama sekali akan mengetuk pintu syurga."
Imam Muslim meriwayatkan, ketika manusia berkumpul di Padang Mahsyar, orang Mukmin akan mendatangi pintu syurga dan mendekati Nabi Adam. Mereka berkata, "Wahai bapa kami, tolonglah bukakan pintu syurga ini untuk kami." Lalu dijawab, "Bukankah yang mengeluarkan kamu daripada syurga adalah kerana kesilapan Adam? Dia bukanlah orang yang berhak membuka pintu ini."
Menerusi perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau'izati di 
IKIMfm, digambarkan pintu syurga pada ketika itu ada lapan jenis. Jarak di antara pintu ke pintu adalah sejauh jarak di antara Makkah dan Hajar (terletak di Bahrain) iaitu lebih kurang 1,125 kilometer.
Saidina Abu Bakar terawal masuk syurga selepas Nabi
Selepas Nabi Muhammad SAW memasuki syurga, lalu diikuti umatnya dalam kalangan orang Mukmin di dalam keadaan berpasang-pasangan yang dimulakan dengan sahabat Baginda iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq.
Abu Hurairah pernah menuturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Jibril mendatangiku lalu memperlihatkan padaku pintu syurga yang akan dimasuki oleh umatku." Lalu Abu Bakar berkata, "Ya Rasulullah, aku ingin bersama denganmu sehingga aku tidak berpisah denganmu." Baginda menjawab, "Kamu wahai Abu Bakar adalah orang yang pertama memasuki syurga dalam kalangan umatku."
Hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah menyebut, sesungguhnya kelompok pertama yang memasuki syurga, wajah mereka bagaikan bulan purnama pada waktu malam, diikuti golongan yang bagaikan bintang yang terang sinarnya di langit.
Mereka ini tidak membuang air kecil dan besar, tidak berhingus dan tidak ada seorang pun meludah. Sisir rambut mereka diperbuat daripada emas, mengeluarkan peluh yang berbau harum seperti kasturi dan wangian mereka daripada kayu gaharu.
Pada saat itu isteri mereka dalam kalangan bidadari yang cantik jelita. Mereka memiliki akhlak yang baik dan mempunyai bentuk tubuh badan seperti bapa mereka iaitu Nabi Adam, ketinggian mencecah 60 hasta menjulang ke langit.
Rupa paras ahli syurga
Anas bin Malik pula menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, rupa paras ahli syurga semuanya mirip perawakan Nabi Adam, berusia dalam lingkungan 33 tahun, tidak berjanggut, bercelak dan jernih wajahnya.
Mereka dibawa ke pohon syurga dan memakai pakaian tidak akan lusuh dan tidak akan pudar cahayanya.
Golongan ketiga yang memasuki syurga selepas Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq ialah orang Mukmin yang tidak dihisab dan tidak diazab oleh Allah SWT.
Di antara kurniaan diberi Allah kepada Rasulullah SAW ialah setiap satu orang dalam kalangan 70,000 orang yang memasuki syurga tanpa dihisab, akan membawa bersama mereka seramai 70,000 orang yang lain.
Abu Bakar menceritakan Rasulullah SAW bersabda, "Telah diberikan kepadaku 70,000 orang yang masuk ke dalam syurga tanpa dihisab, wajah mereka bersinar bagaikan bulan purnama dan hati mereka seperti satu hati lelaki yang lain. Kemudian aku memohon daripada Allah untuk menambah lagi 70,000, lalu ditambah setiap 70,000 membawa 70,000 orang untuk masuk ke dalam syurga".
Golongan manusia yang akan memasuki syurga tanpa dihisab mempunyai ciri-ciri Mukmin yang sentiasa menjaga keimanannya kepada Allah tanpa ragu-ragu. Selain itu, mereka sering melakukan amalan soleh, hidup berjihad di jalan Allah, keilmuannya membawa kepada kewarakan dalam hidupnya, sikapnya sering mendahulukan orang lain, lembut hatinya, hidupnya penuh dengan kasih sayang, menepati janji dan memiliki akhlak terpuji.
Golongan keempat terawal memasuki syurga ialah dalam kalangan mereka yang mati syahid. Apabila ditanya dalam kalangan roh-roh mereka yang meninggal dunia, siapakah di antara mereka yang ingin dihidupkan semula, semuanya enggan hidup semula kecuali roh orang yang mati syahid mempertahankan agama Allah.
Golongan ini juga mampu menarik ahli keluarganya yang menghuni neraka seramai 30 orang untuk masuk ke dalam syurga bersama-samanya. Rasulullah berpesan kepada umatnya agar mengimpikan dan bercita-cita agar diri mereka untuk mati syahid walaupun pada penghujung hayat mereka nanti ditakdirkan menemui ajal di atas katil, mudah-mudahan mereka akan beroleh pahala dan ganjaran sama.
Fakir dahului orang kaya
Golongan kelima terawal memasuki syurga ialah mereka yang mempertahankan kehormatan diri daripada sibuk meminta-minta dengan orang lain, tidak menjaja namanya walau berada di dalam kesusahan atau mati di dalam keadaan mempertahankan dirinya daripada dinodai.
Kemudian golongan keenam ialah mereka yang hidupnya sentiasa menasihati pemimpin, mengingatkan ketua dan majikannya demi menegakkan kebenaran agama Allah. Selain itu, golongan yang berkejaran ke syurga terdiri dalam kalangan orang fakir yang taat kepada Allah terlebih dahulu masuk ke dalam syurga berbanding orang kaya yang beriman kepada-Nya.
Penulis adalah Penerbit Kanan Rancangan IKIMfm

0 Response to "Rasulullah pembuka pintu syurga.. Siapakah golongan yang akan masuk syurga tanpa HISAB selepas Rasulullah.."

Post a Comment